Menurut Geramm, Kit Siang sebagai ‘orang lama’ dalam bidang politik seharusnya menunjukkan contoh yang lebih baik dalam melayani wartawan khususnya melibatkan mereka yang sedang menjalankan tugas.
“Geramm dengan ini menegaskan bahawa setiap wartawan mempunyai hak untuk bertanya dan menjalankan tugas tanpa diganggu.
“Sebagai ahli politik veteran, Lim seharusnya memberi contoh yang baik dengan tidak bersikap kasar terhadap petugas media yang hanya menjalankan tugas mereka.
“Apatah lagi beliau terkenal sebagai ahli politik yang ‘rajin menulis’ – jika ada apa-apa perkara yang perlu dijelaskan,” memetik kenyataan Geramm.
Dalam perkembangan berbeza, Geraam turut mengingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk tidak bersikap prejudis terhadap wartawan.
Ini ekoran tindakan beliau yang sekali lagi ingin mengambil tindakan menyaman akhbar New Straits Times dan juga Berita Harian.
“Geramm menghormati hak mana-mana ahli politik untuk menuntut keadilan dari pihak media melalui proses undang-undang.
“Pada masa yang sama, Geramm turut ingin mengingatkan agar tidak bersikap prejudis terhadap semua wartawan dari media yang berkenaan.
“Selain itu, pihak sidang pengarang syarikat penerbitan sendiri haruslah mematuhi etika kewartawanan dan melaporkan dengan tepat, telus dan jelas agar kredibiliti mereka tidak terus terhakis dalam era pembaca yang lebih bijak mencari maklumat ini.
“Geramm sekali-kali tidak berpihak kepada mana-mana parti politik tetapi berusaha bersama mereka yang giat mahu menjadikan kewartawanan Malaysia boleh dibanggakan demi kebaikan rakyat dan negara,” kata kenyataan itu lagi.