Perkara itu disahkan Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah yang turut berada dalam program tersebut.
“Saya mengenali salah seorang daripada mereka sebagai ahli DAP. Tiada apa yang boleh kita lakukan. Mereka baling telur pada saya, pada Kit Siang tetapi ceramah kita masih berjalan selepas itu.
“Saya rasa masalah yang besar adalah hanya beberapa orang itu. Mereka jangka bahawa calon mereka boleh bertanding dalam pilihan raya,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Menurut Leong, kumpulan tersebut turut menurunkan sepanduk DAP di kawasan itu sebagai tanda protes kerana memberikan kerusi DUN Damak kepada rakan sekutunya PKR dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Jelasnya, sukar untuk mengambil semula kerusi itu daripada PKR dalam PRU 2013 yang sekaligus mengakibatkan Barisan Nasional terus kekal memegang kerusi tersebut.
“DAP bertanding di Damak pada tahun 2004. Pada tahun 2008, kita tidak mempunyai calon jadi PKR bertanding di kerusi itu.
“Untuk mengambil semula kerusi itu adalah sangat sukar,” kata Adun Tanah Rata.
Ahli-ahli DAP menganggap alasan yang diberikan oleh Leong tidak masuk akal kerana dalam pilihan raya lalu, calon mereka, Koh Boon Heng yang kemudiannya bertanding sebagai calon bebas hanya tewas dengan majoriti tipis 64 undi.
Mereka yakin sekiranya sekiranya PKR tidak bertanding di kerusi tersebut, undi parti itu mampu memberikan kemenangan kepada Koh.