Kim Swee fokus tajamkan bahagian serangan Harimau Malaysia

Katanya, beliau perlu memperbaiki kelemahan di bahagian serangan sebelum kempen Piala AFF Suzuki bermula pada 19 November di Myanmar untuk mencapai sasaran iaitu mara ke peringkat akhir.

“Saya percaya bahawa kita sepatutnya menang perlawanan tadi, terutama dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain pada separuh masa kedua. Saya akan fokus pada latihan untuk memperbaiki dan mendapatkan corak serangan yang lebih kemas sebelum perlawanan pertama Piala AFF pada 21 November.

“Bagaimanapun saya cukup kagum dengan prestasi yang ditunjukkan oleh barisan pertahanan hari ini,” katanya pada sidang media selepas seri 1-1 dalam aksi persahabatan menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam di sini, malam ini.

Pada aksi malam ini, Afghanistan yang menghuni ranking ke-149 dunia, terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi Noarollah Amiri sebelum Muhd Hadin Azman menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama.

Untuk rekod, dalam tiga perlawanan terakhir, skuad Harimau Malaysia hanya menjaringkan satu gol pada malam ini, selepas terikat tanpa jaringan bersama Singapura pada Jumaat lalu dan tewas 3-0 kepada Indonesia 6 September lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih Afghanistan, Petar Segrt kecewa dengan kurangnya kehadiran peminat tempatan semasa perlawanan itu.

“Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan prestasi anak-anak buah saya. Kami menguasai permainan pada masa pertama, mempunyai peluang baik dan bermain dengan bersemangat. kami juga gembira dengan menjaringkan gol pertama,” katanya.

Malaysia hanya mencatatkan tiga kemenangan daripada 11 perlawanan sepanjang tahun ini, iaitu dua kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste dalam aksi playoff kelayakan Piala Asia 2019 pada Jun lalu dan kemenangan ke atas New Caledonia, yang kemudian tidak diiktiraf oleh FIFA kerana kesilapan teknikal di pihak penganjur.

Skuad kebangsaan seterusnya dijangka berhadapan dengan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 14 November di Malaysia, sebelum Kim Swee memuktamadkan senarai 23 pemain untuk Piala AFF yang akan bermula 19 November hingga 17 Disember ini.— Bernama

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2