Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim turut memerintahkan Khalid, 60, yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara dipenjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda.
Beliau membayar denda.
Berikutan keputusan mahkamah itu, Khalid berkemungkinan hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen mengikut Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau bagaimanapun akan memfailkan rayuan berhubung sabitan dan hukuman ke atasnya pada esok.
Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang Anggota Parlimen akan hilang kelayakan sekiranya beliau dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.
Mohd Hairuddin menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira usia Khalid, penyakit jantung yang dihidapi dan aktiviti kebajikan yang banyak dilakukan beliau untuk masyarakat.
Hakim Syarie itu juga berkata hukuman ke atas Khalid adalah bersifat pengajaran kepada Anggota Parlimen berkenaan dan masyarakat supaya tidak mengulanginya pada masa depan.
Mohd Hairuddin berkata hukuman yang dijatuhkan turut mengambil kira sabitan tertuduh bukan dibuat daripada pengakuan bersalahnya tetapi hasil perbicaraan selain mengambil kira prosiding kes itu mengambil masa lama menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos.
Khalid didakwa melakukan kesalahan itu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, di sini antara 10 malam dan 11.50 malam pada 16 Ogos 2011.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukur Abdul Hamid dan Muhamad Rafizam Ahmad Supian sementara Khalid diwakili peguam syarie Dr Zulqarnain Lukman.
Seramai empat saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Zulqarnain ketika ditemui berkata, kes itu adalah yang pertama melibatkan Anggota Parlimen di Mahkamah Syariah yang dikenakan denda melebihi RM2,000.
Sementara itu, mengulas mengenai kedudukannya sebagai anggota Parlimen, Khalid memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa beliau tidak pasti sama ada Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan terpakai untuk kes di Mahkamah Syariah.
“Jika diikutkan Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Anggota Parlimen dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau denda melebihi RM2,000 akan hilang kelayakan.
“Sama ada kelayakan saya sebagai Anggota Parlimen akan hilang atau sebaliknya, perlu tunggu mahkamah tertinggi membuat keputusan,” katanya. – Bernama