Ketua muslimat Perak calon PAS Kuala Kangsar

Pengumuman dibuat Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di padang berhampiran markas PAS Kuala Kangsar, Bukit Chandan di Kuala Lumpur malam ini.

Dr Najihatussalehah,50, juga merupakan Anggota Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat sesi 2015-2017.

Beliau yang berasal dari Pasir Kubu, Pulau Tiga Kiri, Pasir Salak memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Kuala Lumpur.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima).

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengumumkan nama calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Kuala Kangsar pada petang esok, manakala Parti Amanah Negara akan mengumumkan calonnya pada 1 Jun.

Bernama

Related posts

Jangan keterlaluan memuji saya – Budiman

Tiada sabotaj dalam BN kunci kemenangan besar

PAS harap undi protes untuk menang