“Takziah kepada Puan Sri Jamilah dan keluarga dan rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke Rahmatullah Ketua Menteri Sarawak TS Adenan Satem. Al Fatihah,” tulis Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
“Salam takziah atas kehilangan Ketua Menteri Sarawak, Alfatihah,” tulis Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati di laman sosial Twitter beliau.
Bagaimanapun sehingga kini belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya dari kerajaan negeri Sarawak.
Adenan yang mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik memenangi kesemua kerusi negeri dan parlimen yang pernah ditandinginya sejak 1979 meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.
Adenan mencatatkan satu sejarah baru untuk negeri Sarawak apabila menjadi etnik Melayu yang pertama menerajui negeri itu selaku ketua menteri.
Selain Ketua Menteri, Adenan pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sarawak dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Kerajaan Pusat dari Mac 2004 hingga Februari 2006.
Malah pernah bertugas sebagai wartawan, guru, majistret dan penasihat perundangan sebelum bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak di kerusi Muara Tuang pada Januari 1979.
Beliau yang menerima pendidikan undang-undang di Australia dan pernah menjadi naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Adenan kini adalah ketua penerangan PBB.
Tokoh politik veteran itu pertama kali dilantik memegang jawatan dalam pentadbiran negeri sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah pada 1985.
Dua tahun kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negeri di Kementerian yang sama.
Pada 1992 beliau berpindah ke Kementerian Pembangunan Sosial Negeri dan pada 1998, sebagai Menteri di Kementerian yang baru diwujudkan iaitu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri.
Sebagai seorang pentadbir dan pengamal undang-undang, beliau pernah dilantik sebagai pendakwa raya seawal tahun 1969 di Pejabat Pendakwa Raya Adelaide dan pernah berkhidmat sebagai majistret dari 1971 hingga 1972.
Adenan menjadi peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1975 dan dilantik sebagai pengerusi Yayasan Sarawak pada 1 Februari 1999 selepas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatan itu.