Ketua Kerani KKTM dibawa pulang

Satu bahagian pesawat Malaysia Airlines itu diubahsuai dengan dilengkapi peralatan perubatan dan kemudahan seperti wad bagi menempatkan pesakit angin ahmar, Mohamad Sahar Mhd Noor, 57, yang dibawa pulang untuk menerima rawatan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.

Mengiringi Mohamad Sahar dalam penerbangan selama 13 jam itu ialah pasukan doktor dan jururawat yang tiba dari Malaysia, selain ahli keluarganya, iaitu isterinya, Hawiyah Ahmad, 57, serta anaknya, Muhamad Fahdli, 30; Amirah, 29, dan Atikah, 27.

Pengarah MARA London, Ahmad Izlan Idris, turut mengiringi Mohamad Sahar yang juga Ketua Kerani Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Negeri Sembilan.

Pesawat itu dijangka tiba di KLIA, pada Selasa.

Mohamad Sahar diserang angin ahmar sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada 4 Julai lalu ketika dalam perjalanan untuk menghadiri majlis graduasi anak bongsunya, Atikah, yang menamatkan pengajian peringkat sarjana di Brunel University, selain menyambut Aidilfitri bersama keluarganya.

Beliau kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Charing Cross Hospital, barat London dan menjalani pembedahan di bahagian otak kerana berlaku pendarahan, sebelum dimasukkan ke Unit Hyper Acute Stroke selama lebih sebulan bagi menjalani rawatan dan terapi.

Pada 28 Julai lalu, keluarganya memohon bantuan rakyat Malaysia mendoakan Mohamad Sahar supaya sembuh, selain membantu dari segi kewangan bagi membiayai kos perubatan yang berjumlah RM245,764 menerusi https://www.gofundme.com/saharnoor.

Sementara itu, Mohamad Sahar menunjukkan perkembangan positif walaupun tidak sedar sepenuhnya, apabila dilihat menggaru kepala dengan tangan kiri, selain mengangkat kedua-dua tangannya, pada Ahad.

Beliau turut membuka mata beberapa kali apabila mendengar suara anak kesayangannya. – BH Online

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia