Ketepikan kepentingan peribadi – Zahid Hamidi

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan muktamad terletak pada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan semua pihak perlu akur dengan keputusan tersebut.

“Ketepikan perbezaan, kepentingan peribadi, siapa sahaja calon di bawah kepimpinan Dato Jamal akan memperolehi kemenangan lebih tinggi,” tegasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor di Sekin Hotel & Resort di sini, pada Isnin.

Dalam majlis perjumpaan pemimpin empat peringkat BN Sungai Besar itu, Zahid mengingatkan kepada setiap jentera supaya memupuk semangat berganding bahu dan bersatu padu bagi memastikan kemenangan BN.

Beliau yakin, gandingan Jamal dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mampu menggerakkan jentera dengan lebih mantap bagi menghadapi PRK yang dijadualkan pada 18 Jun depan.

“Tidak mustahil mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih tinggi.

“Dengan kerjasama mantap UMNO Negeri (Selangor) dan Bahagian (Sungai Besar), kita dapat mencapai sasaran bagi mencapai kemenangan yang lebih besar,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Azeez Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi.

Related posts

Jangan keterlaluan memuji saya – Budiman

Tiada sabotaj dalam BN kunci kemenangan besar

PAS harap undi protes untuk menang