Kesihatan MB Kelantan bertambah baik

Setiausaha akhbarnya, Mohd Asri Mat Daud, berkata Ahmad masih lagi menerima rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Malah, Menteri Besar Kelantan itu masih lagi mengambil berat tentang rakyat Kelantan walaupun sedang menerima rawatan kesihatan.

“Beliau sempat berpesan kepada saya tadi, agar seluruh rakyat negeri Kelantan dapat menjaga kesihatan, khasnya pada cuaca yang semakin panas ketika ini.

“Walaupun menteri besar masih lagi berada di wad HUSM untuk rawatan susulan, namun beliau tetap mengambil tahu situasi rakyat dan turut menyampaikan salam kepada semua,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad juga turut mengharapkan solat sunat Istisqa’ yang bakal diadakan di Padang Hoki, bersebelahan Padang Perdana, pada 22 April ini, dapat dihadiri rakyat bagi memohon Allah diturunkan kerahmatanNya secara berpanjangan.

Buat masa ini, pihak Pejabat Menteri Besar Kelantan mengharapkan tiada pihak akan melawat Ahmad bagi membolehkan Timbalan Mursyidul Am PAS itu berehat.

Ahmad dimasukkan ke HUSM pada Rabu lepas, setelah berasa sakit di bahagian kepala sejak seminggu lalu dan pihak hospital memaklumkan terdapat darah beku di kepalanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri