Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata beliau percaya kesetiaan ahli menjadi pengukur kepada kejayaan UMNO hari ini.
Bagaimanapun beliau terkilan kerana ada dalam kalangan pemimpin parti itu sendiri cuba meruntuhkan kekuatan parti yang dibina selama ini.
“Kesetiaan ahli menjadi kayu pengukur kepada kehebatan UMNO pada hari ini, selain dengan kebijaksanaan kepimpinan tertinggi dalam menerajui parti.
“Namun saya sedikit terkilan apabila ada dalam kalangan pemimpin, ahli dan penyokong UMNO cuba untuk meruntuhkan kekuatan yang telah dibina.
“Mereka tidak hanya melontarkan kritikan di media sebaliknya turut membuat gerakan untuk menurunkan kepimpinan yang ada pada hari ini sehingga sanggup bersama dengan pembangkang bagi memenuhi kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
UMNO hari ini genap usia 70 tahun dan esok satu majlis akan diadakan bagi sambutan Hari UMNO Ke-70.
Bagaimanapun tiada sambutan meriah ulang tahun UMNO ke-70 kali ini kerana menghormati insiden nahas helikopter di Sarawak.
Sementara itu Azalina yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, semua pihak perlu faham bahawa pemimpin boleh datang dan pergi dan setiap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi adalah demi kelangsungan parti.
Katanya, kepemimpinan UMNO hari ini tidak pernah lupa akan jasa pemimpin terdahulu, namun adalah penting untuk memberikan ruang kepada kepemimpinan hari ini menerajui UMNO dengan acuan tersendiri.
“Sehubungan itu semua peringkat kepimpinan perlu memainkan peranan masing-masing terutamanya dalam menangani fitnah media sosial.
“Setelah pelbagai tomahan yang dilontarkan kepada UMNO terutama Presiden, Datuk Seri Najib Razak, namun semuanya mampu ditangani dengan baik. Sebagai pemimpin dan ahli parti kita harus meyakinkan rakyat bahawa UMNO adalah pilihan terbaik serta relevan bagi generasi hari ini dan akan datang,” katanya.