Ini bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kes ini seperti laporan polis dan perubatan.
Pada prosedur hari ini, Fatimah Abdullah, 51, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan itu apabila dihadapkan ke hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Ketika kali pertama didakwa pada 28 Januari lalu, dia mengaku bersalah, tetapi menukar pengakuan kepada tidak bersalah apabila kesnya disebut semula pada 22 Februari lalu.
Selepas tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalah, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Azhan Hakim Nik Mahmood, yang dibantu oleh Nabilah Mohammad Zanudin, memberitahu mahkamah bahawa laporan polis sudah siap, tetapi pihaknya belum dapat mengemukakan laporan perubatan.
Peguam J Gunamalar yang mewakili tertuduh pula berkata, laporan itu sepatutnya sudah siap kerana sudah hampir dua bulan selepas sebutan semula yang lalu.
Berikutan itu, hakim menetapkan 25 April untuk semua laporan berkaitan diserahkan.
Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap warga Pakistan, Umar Rahman, 44, dengan menggunakan pisau yang berkemungkinan boleh menyebabkan kematian, pada jam 1.20 pagi, 20 Januari lalu di Jalan Beringin 3, Batu Kikir, Jempol.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan. – BHOnline