Kes jangkitan Zika tempatan pertama di Malaysia dikesan

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang menetap di Taman Public Jaya Likas, Sabah itu dikatakan mengalami demam pada 27 Ogos lalu dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Luyang pada 30 Ogos.

Ekoran keadaan yang semakin membimbangkan, lelaki berkenaan telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 pada 31 Ogos lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut setelah demamnya semakin teruk dan juga mengalami cirit birit.

“Memandangkan pesakit juga mempunyai co-morbids iaitu menghidap penyakit tekanan darah tinggi, masalah pembuluh darah jantung, penyakit kronik buah pinggang, masalah batu karang dan penyakit gout, keadaan pesakit didapati agak serius ketika dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital tersebut.

“Walau keputusan ujian dari Makmal Kesihatan Awam menunjukkan bahawa darah dan air kencing sampel pesakit didapati positif jangkitan Zika, namun keadaan pesakit yang agak serius kemungkinan bukan disebabkan oleh jangkitan Zika, tetapi disebabkan penyakit-penyakit lain yang dihidapi pesakit.

“KKM sedang menyiasat selanjutnya sejarah perjalanan pesakit dalam tempoh kebelakangan ini,” katanya di dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Susulan daripada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telag memulakan aktiviti pengawalan vektor di kawasan perumahan lelaki berkenaan dan juga tempat-tempat yang dilawatinya.

Langkah pengawalan vektor itu termausk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, larvaciding dan juga pengkabutan.

“Di samping itu, kontak dan kenalan rapat kepada pesakit akan diperiksa sama ada mereka mempunyai demam atau gejala Zika lain,” tambahnya.

Maklumat terkini yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan Singapura, menunjukkan pada keseluruhanya terdapat 11 rakyat Malaysia disahkan dijangkiti Zika virus.

Sepuluh daripadanya tinggal dan bekerja di Singapura manakala seorang lagi bekerja di Singapura tetapi menetap di Johor.

Memandangkan virus Zika telah pun dikesan di negara ini, dijangkakan peningkatan kes Zika akan berlaku jika tindakan pencegahan tidak dilakukan oleh masyarakat dan semua pihak.

“Oleh itu, KKM sekali lagi ini menekankan bahawa kebersihan persekitaran tanpa tempat pembiakan Aedes, amalan mencari dan musnah tempat pembiakan Aedes setiap minggu oleh masyarakat dan melindungi diri dari gigitan nyamuk seperti penggunaan repelen adalah kaedah yang berkesan menghalang kejadian kes Zika,” ujarnya.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia