Kes HFMD meningkat 17.8 peratus dari Januari

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, untuk tempoh berkenaan, purata kes yang dilaporkan turut meningkat kepada 757 kes seminggu berbanding 642 kes untuk tempoh sama pada 2015.

“Walaupun kebiasaannya hanya gejala ringan, ia cepat menular dengan kadar serangan hampir 100 peratus dalam kalangan kanak-kanak di bawah 10 tahun terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti taska dan tadika,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 7,471 kes diikuti Sarawak (3,007), Johor (2,294), Kuala Lumpur (2,084), Sabah (1,535), Perak (1,361), Pulau Pinang (1,357), Melaka (1,198), Negeri Sembilan (889), Kedah (641), manakala negeri-negeri lain kurang daripada 500 kes.

Menurutnya, tiga daerah di Selangor yang mencatat bilangan kes tertinggi adalah Petaling (2,699), Hulu Langat (1,801) dan di Klang (1,023 kes).

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,885 kes HFMD dilaporkan pada 31 Julai hingga 6 Ogos, meningkat 600 kes berbanding 1,285 kes minggu sebelumnya.

Beliau berkata, penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71) dan merebak melalui sentuhan dengan air liur, cecair lepuh dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara tiga hingga lima hari.

“Kebiasaannya jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah dengan hampir keseluruhan pesakit pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh ke 10 hari”, ujarnya.

Menurutnya lagi, kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan.

Bagaimanapun, beliau berkata jangkitan EV 71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis (radang otak), pulmonary edema (radang paru-paru berair) dan myocarditis (radang pada otot jantung), namun, ia jarang berlaku.

Dr Noor Hisham berkata, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak yang mengalami jangkitan perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk tidak dibawa ke tempat-tempat awam, membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor selain mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, menyentuh atau merawat lepoh dan semasa mencuci najis kanak-kanak itu.

Pengamal perubatan dan orang ramai boleh melaporkan kes HFMD di premis taska, tadika dan sekolah terlibat ke pejabat kesihatan daerah yang berhampiran, kata beliau. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia