Kerusi Batu Kitang panas, tarik perhatian umum

Ini kerana bukan sahaja perebutan kerusi baharu itu akan melibatkan lima calon tetapi calon DAP, Abdul Aziz Isa yang sebelum ini pernah diumumkan akan bertanding di Stakan ditukar serta-merta bertanding di situ.

Abdul Aziz, 26, menentang empat lagi calon lain iaitu Lo Khere Chiang, 56, (Barisan Nasional-SUPP), Voon Shiak Ni, 49 (PKR), Sulaiman Kadir dan Datuk Seri Othman Bojeng kedua-duanya Bebas.

Lo ketika ditemui mengakui beliau terkejut dengan pertarungan lima penjuru itu namun menyatakan keyakinan dapat memenangi kerusi itu.

“Saya berasa yakin bukan kerana terdapat ramai calon tetapi saya percaya, saya sudah bekerja keras untuk memenangi kerusi ini bagi BN,” katanya sambil menambah, beliau terkejut pembangkang meletakkan dua calonnya di kerusi tersebut (DAP dan PKR).

Lo berharap pengundi Bumiputera di kawasan itu terus memberi sokongan kepada BN meskipun DAP meletakkan calon di situ.

Sementara itu Abdul Aziz memberitahu bahawa beliau diarah DAP Sarawak supaya kembali bertanding di Batu Kitang selepas PKR melanggar perjanjian asal antara kedua-dua parti itu.

Menurutnya berdasarkan kajian Merdeka Center, DAP dapat memenangi Batu Kitang namun diserahkan kepada PKR sebagai perjanjian PKR tidak menuntut lima kerusi lain (Senadin, Mulu, Tasik Biru, Simanggang, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah dan Murum).

Sebagai habuan kepada PKR, parti itu boleh bertanding di Batu Kitang, Marudi, Machan, Layar dan Belaga.

Perlanggaran perjanjian itu jelasnya, memaksa DAP bertanding di Batu Kitang yang sebelum ini telah dipersetujui diserahkan kepada PKR dengan syarat beberapa kerusi luar bandar antaranya Simanggang, Murum, Mulu dan Ngemah diberikan kepada DAP.

“Memang amat dikesali PKR melanggar perjanjian ini dan memaksa DAP bertanding di Batu Kitang yang pada mulanya diberikan kepada PKR selepas dipersetujui beberapa kerusi diberikan kepada DAP.

“Namun sebaliknya berlaku, PKR tetap meletakkan calon di kerusi luar bandar yang setuju diserahkan kepada DAP.

“Kami tiada pilihan, kami terpaksa mencalonkan seseorang di Batu Kitang,” jelasnya.

Related posts

PRN Sarawak ke-11 telan belanja RM135.6 juta

Itu hak Adenan – Masing

Nazri umum peruntukan RM210,000 untuk 41 ranting PBB Pantai Damai