PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang meneliti draf akhir peraturan buangan peralatan elektrik dan elektronik bagi membolehkan Mekanisme Pengurusan Buangan Peralatan Elektrik dan Elektronik (e-sisa) yang dijana isi rumah di negara ini dapat dikuatkuasakan tahun depan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mekanisme itu bertujuan menangani e-sisa dihasilkan isi rumah dan sektor bukan industri seperti komersial serta institusi.
Menurutnya, mekanisme itu membabitkan pihak pengilang, pengimport, pengguna, pusat pengumpulan berdaftar dan pemerolehan kembali (premis kitar semula) yang dilesenkan di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kerangka itu kita sudah ada, tetapi perlu disesuaikan dengan realiti sektor bukan industri, kemudian bila dah melalui proses libat urus dengan pihak berkepentingan, kita akan ke peringkat seterusnya,” katanya kepada Bernama.
Seperti negara lain, beliau berkata, Malaysia tidak terkecuali memastikan e-sisa dihasilkan dalam negara mesra alam melalui penambahbaikan perundangan dan pembangunan mekanisme pengurusan e-sisa.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, peraturan yang dirangka menekankan konsep “Tanggungjawab Pengeluar yang Diperluas dan Tanggungjawab Bersama” kepada semua pihak berkepentingan terbabit dalam menghasilkan enam item kawalan e-sisa, iaitu peti ais, mesin basuh, telefon bimbit, komputer, penyaman udara dan televisyen.
“Menyedari peningkatan kuantiti e-sisa yang menjadi ancaman global ketika ini dan kepentingan serta keperluan sistem pengurusan khusus untuk menangani e-sisa, semakin banyak negara menggubal peraturan berkenaan perkara ini.
“Statistik menunjukkan e-sisa dilindungi perundangan, polisi dan peraturan di 78 negara pada 2019 berbanding 61 negara pada 2014. Statistik ini menunjukkan kesedaran mengenai e-sisa mula meningkat.”
Beliau berkata, Taiwan, Jepun dan Kesatuan Eropah menggubal peraturan e-sisa lebih 20 tahun lalu, manakala beberapa negara jiran di Asia Tenggara sudah menggubal peraturan e-sisa sendiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, Malaysia perlu mempunyai garis panduan jelas berhubung pengurusan e-sisa, terutama bagi menghindari pencemaran bahan berbahaya terkandung dalam sisa buangan itu, jika tidak dilupuskan dengan cara betul.
“Selain itu, ada satu fenomena baharu dipanggil perlombongan urban, iaitu usaha mendapatkan semula logam mahupun bahan nadir bumi dalam e-sisa dan boleh dikitar semula menjadikan garis panduan itu amat penting.”
Ketika ini, sistem pelupusan e-sisa hanya dilaksanakan di peringkat industri, manakala pelupusan di peringkat isi rumah atau masyarakat awam tidak dilakukan secara sistematik dan hanya dibuang di tong sampah atau secara haram.
E-sisa yang dijana daripada proses perindustrian dikawal JAS melalui Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dari mula ia dihasilkan sehingga dilupuskan.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menganggarkan purata 7.6kg e-sisa dihasilkan setiap individu pada 2021 yang secara keseluruhannya mencatatkan penjanaan e-sisa sebanyak 57.4 juta tan seluruh dunia.
Perkara itu amat membimbangkan kerana hanya 17.4% e-sisa dilaporkan dikitar semula atau dilupuskan secara pengurusan mesra alam. –Bernama