Kerajaan Selangor sokong PAN atau PAS, soal Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata buat masa ini pendirian kerajaan negeri Selangor dilihat masih kabur dalam soal sokongan kepada calon pembangkang yang bertanding.

Beliau berkata, bukan itu saja kedudukan PAS dalam kerajaan negeri itu juga dilihat agak samar, sama ada diterima baik ataupun sebaliknya.

“Kerajaan negeri Selangor perlu menyatakan pendiriannya menyokong calon PAN atau PAS. Sehingga kini ia dilihat masih kabur (sokongan).

“Kita pun tidak tahu PAS ini diterima ataupun tidak dalam kerajaan negeri Selangor. Mereka umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Ma’muniah, Sungai Besar di sini, sebentar tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua UMNO bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos dan Calon BN bagi PRK Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan ibu tunggal.

Najib berkata, kegagalan kerajaan negeri Selangor menyatakan pendiriannya dalam hal ini membuktikan pembangkang dalam keadaan bercelaru.

Katanya, ia sudah terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lalu apabila berlaku pertembungan antara PKR dan DAP di banyak kerusi.

Sementara itu, Najib berkata pemilihan Budiman selaku calon BN adalah berdasarkan kepada rekod pencapaiannya yang cemerlang dalam berkhidmat untuk rakyat.

Oleh itu beliau yakin Budiman mampu meneruskan kesinambungan ataupun legasi pentadbiran Allahyarham Datuk Noriah Kasnon di Sungai Besar.

PRK Sungai Limau diadakan ekoran kematian penyandangnya iaitu Noriah dalan insiden nahas helikopter di Sarawak, 5 Mei lalu.

Related posts

Jangan keterlaluan memuji saya – Budiman

Tiada sabotaj dalam BN kunci kemenangan besar

PAS harap undi protes untuk menang