Kerajaan Sarawak Belum Dimaklum Secara Rasmi Projek Trans Borneo Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak belum dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan sebuah syarikat berpangkalan di Brunei untuk memulakan projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang akan melalui beberapa destinasi di Bumi Kenyalang.

Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata beliau hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media baru-baru ini.

“Ia mungkin cadangan daripada sektor swasta yang tidak melibatkan kerajaan kerana jika kita mahu membina landasan kereta api Kalimantan-Borneo, mesti ada persetujuan antara Malaysia, Indonesia, dan Brunei,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, Unit Perancang Ekonomi masih menjalankan kajian berhubung projek itu.

“Mereka akan terlibat dalam perbincangan kerajaan dengan kerajaan bersama Indonesia dan Brunei untuk mendapatkan kata sepakat berhubung projek landasan kereta api Borneo,” katanya.

Menteri Pengangkutan dan Penerangan Brunei Pengiran Shamhary Mustapha pula berkata belum ada perbincangan rasmi di peringkat kerajaan berhubung cadangan projek Kereta Api Trans Borneo.

Bagaimanapun, memetik laporan akhbar Borneo Bulletin, Shamhary berkata pihaknya menyedari aspirasi syarikat itu untuk menyediakan perkhidmatan kereta api di Kepulauan Borneo namun ia masih memerlukan kajian lanjut.

“Walaupun belum ada perbincangan rasmi di peringkat kerajaan mengenainya namun di peringkat Asean perkara ini ada disentuh oleh Asean Railway SubWorking Group berkaitan kesalinghubungan landasan kereta api dalam Asean dan ia mungkin dibangkitkan pada masa depan,” katanya.

Cadangan Brunergy Utama Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei untuk memulakan projek itu telah menarik perhatian media baru-baru ini dan ia bakal memendekkan masa perjalanan antara Brunei, Sarawak, Kalimantan, dan Sabah.

Menurut syarikat itu, projek bernilai USD70 bilion (RM330 bilion) tersebut akan dilaksana dalam dua fasa membabitkan laluan sepanjang lebih 1,600km dan bakal dilengkapi kereta api berkelajuan tinggi yang mencecah kelajuan sehingga 350km/j. –Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia