Kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak mesti berada dalam ‘geng’ yang sama demi memastikan pembangunan yang berterusan di negeri ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Justeru itu, Najib berkata, beliau bekerja keras untuk membantu ‘geng’ beliau, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, pada 7 Mei nanti.
Menurut Najib, rakyat di negeri ini harus memilih kerajaan yang dipimpin oleh Adenan yang dapat membela nasib rakyat di samping membawa harapan baharu untuk mereka.
“Kita perlu kerajaan yang bukan sahaja boleh janji tetapi boleh tunaikan janji itu pada keadaan peringkat di mana kita boleh merasai kebaikan dan perubahan daripada janji-janji yang dilafazkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Projek Pan Borneo Sarawak bagi jajaran dari Simpang Bintangor-Sungai Kua sepanjang 76.2 kilometer dekat Jambatan Durin di sini, Ahad.
Najib turut menggesa rakyat Sarawak agar tidak terpedaya dengan ‘Impian Sarawak’ yang dibawa pembangkang kerana konsep itu, hanya merupakan propaganda semata-mata.
Sementara itu, pembinaan lebuh raya jajaran Simpang Bintangor-Sungai Kua tersebut merupakan pakej keempat projek Pan Borneo.
Ia melibatkan kerja naik taraf jalan yang ada daripada dua lorong kepada empat lorong dari Simpang Bintangor ke Simpang Julau dan dari Lapangan Terbang Sibu ke Jambatan Sungai Kua.
Pakej yang bernilai RM1.7 bilion itu turut meliputi pembinaan dua persimpangan bertingkat, 79 hentian bas, tujuh jejantas, 46 pusingan U dan satu hentian sebelah di Julau.
Jambatan Batang Rajang yang turut dikenali sebagai Jambatan Durin sepanjang 1.708km akan turut dinaik taraf kepada empat lorong untuk keselesaan pengguna jalan raya.
Pembinaan jajaran itu dijangka siap pada tahun 2020. – Bernama