Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ia termasuk menerima peletakan jawatan semua ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan pada April lalu.
“Kita mengambil serius terhadap syor PAC dan telah mengambil tindakan terhadap perkara tersebut.
“Kerajaan juga telah meminta pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) menyiasat pihak pengurusan yang menyebabkan kelemahan 1MDB. Suka saya jelaskan di dewan ini bahawa mana-mana pihak pengurusan dan pengarah apabila penyiasatan dilakukan oleh PDRM, jika terbukti ada kesalahan, tindakan akan diambil,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai tindakan yang telah diambil oleh kerajaan terhadap syor PAC dalam laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April lepas.
Laporan itu mengandungi rumusan hasil siasatan PAC terhadap isu melibatkan syarikat pelaburan strategik negara itu termasuk syor antaranya meminta pihak berkuasa menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB serta Lembaga Penasihat 1MDB dimansuhkan berserta Artikel 117 dalam Memorandum dan artikel syarikat itu.
Johari berkata, 1MDB telah memansuhkan Lembaga Penasihat seperti disarankan dan memindahkan anak-anak syarikat dan aset syarikat itu kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) mengenai status kemajuan dalam pelan rasionalisasi hutang 1MDB, Johari berkata setakat ini 1MDB telah menjelaskan semua hutang bank tempatan dan hutang jangka pendeknya.
“Penjualan aset seperti Edra Synergy telah selesai dan hasil sebanyak RM9.83 bilion telah digunakan untuk menyelesaikan kesemua pinjaman jangka pendek dalam bank-bank tempatan,” katanya. – Bernama