KUALA LUMPUR: Dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran merupakan kes terpencil adalah tidak tepat, kata Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan Majlis Tindakan Negara Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, tinjauan yang dijalankan oleh Pengerak Madani di pasar raya terkemuka melibatkan 30 lokasi seluruh negara gagal menemui bekalan beras putih tempatan.Menurut beliau, pemeriksaan berkala yang dijalankan skuad pemantauan berkenaan pada 20 Februari, 4, 7 dan 15 Mac lalu turut mendengar keluh-kesah rakyat mengenai kesukaran memperoleh beras tempatan berharga RM26 bagi berat 10 kilogram (KG).”Maklumat-maklumat yang dimaklumkan oleh mana-mana menteri mengatakan bahawa kes ini kes terpencil sebenarnya tidak, kes ini kes besar. Semua rakyat mengeluh kerana ketiadaan beras putih tempatan yang dijual pada harga RM26.“Ini saya boleh sahkan dengan beberapa tinjauan sebelum ini pada 20 Februari, 4, 7 dan 15 Mac dan itulah keadaannya di masna saya sangat bimbang terhadap respon terutamanya kementerian terlibat untuk mengatasi masalah ini,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Berbuka Puasa Anjuran Ketua Task Force NACCOL merangkap Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, di sini hari ini.Syed Abu Hussin turut menzahirkan kebimbangan sekiranya tiada langkah agresif diambil oleh kementerian terlibat rakyat akan semakin terbeban dengan kenaikan kos yang ditanggung masa kini.“Isu makanan dan lain-lain akan turut terlibat pada musim Ramadan dan menjelang Aidlfitri apabila tiada langkah agresif dibuat oleh mana-mana kementerian terlibat maka rakyat akan dibeban dengan kos yang makin tinggi.“Sekarang kos sara hidup semakin tinggi, barang keperluan makin naik dan beras makanan ruji masih belum diselesaikan kerajaan, jadi saya bimbang rakyat terus susah.“Saya amat berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi NACCOL yang amat prihatin terhadap kos sara hidup mengambil kira dengan serius kehendak rakyat,” katanya.Terdahulu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran pada masa kini hanyalah kes terpencil dan membabitkan beberapa kawasan sahaja.Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, NACCOL akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau isu kekurangan bekalan itu. – MalaysiaGazette