Menurut beliau, setakat hari ini pelaksanaan tempoh kerja hanya tujuh jam telah dilaksanakan namun hanya melibatkan petugas yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) sahaja.
“Kita akan lihat, kaji dahulu. Sebenarnya sekarang pun kalau kita lihat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan juga beberapa agensi tertentu, khususnya UTC, kita lihat ada shift 14 jam dibahagikan kepada dua, tujuh jam setiap seorang.
“Jadi memang telah diamalkan. Tapi kita akan cari mengapa perlunya enam jam ini dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Port Dickson pada Sabtu.
Malah katanya, beberapa cadangan turut diterima kerajaan termasuk untuk membenarkan beberapa skim dan gred tertentu bertugas dari rumah.
“Ada juga yang mencadangkan supaya kerja dari rumah untuk skim-skim tertentu. Jadi semua ini akan dikaji oleh kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, terdapat laporan melibatkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang berpendapat sudah tiba masa untuk Malaysia mempertimbangkan cadangan untuk mengurangkan waktu bekerja dalam sehari.
Setiausaha Agungnya N. Gopal Kishnan berkata pengamalan waktu bekerja yang panjang akan memberi kesan buruk kepada pekerja dalam jangka masa yang lama dan akhirnya mengurangkan produktiviti.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Bidang Psikologi Industri dan Organisasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fatimah Wati Halim berpendapat, produktiviti di tempat kerja tidak bergantung kepada masa atau jam bekerja yang diperuntukkan, tetapi ia lebih diukur melalui kecekapan seseorang itu bekerja, sejauh mana cara kerjanya berkesan dan sikap positif yang diambil terhadap sesuatu kerja.