Kenderaan rasmi dengan pengiring polis tidak disaman

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata pihaknya berpendapat kenderaan itu dalam keadaan selamat kerana diiringi polis yang diakui berpengalaman dan berpengetahuan tentang keselamatan jalan raya.

“Berhubung kenyataan (Timbalan Menteri Dalam Negeri) Datuk Nur Jazlan (Mohamed), sebenarnya ia merujuk kepada kenderaan rasmi kerajaan terutama membabitkan menteri dan timbalan menteri.

“Kenderaan rasmi itu membuat permohonan PDRM atau diiringi PDRM jadi JPJ beranggapan tidak timbul isu berhubung perkara itu (had laju).

“Prosedur JPJ, tidak kira sesiapa, tindakan akan diambil apabila melanggar undang-undang jalan raya termasuk memandu melebihi had laju, tetapi kita faham adakala menteri dan timbalan menteri perlu bergerak cepat untuk sampai ke destinasi atas urusan rasmi,” katanya di Kepala Batas hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jom JPJ di Pulau Pinang di Dewan Millenium yang turut dihadiri Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Timbalan Menteri Luar.

“Bantuan daripada pengiring PDRM juga secara tidak langsung akan memastikan keadaan keselamatan di jalan raya terutama dalam memastikan keselamatan pengguna lain lebih terjamin,” kata Ismail.

Nur Jazlan pada Khamis dilaporkan berkata kenderaan rasmi kerajaan yang dipandu melebihi had laju ketika digunakan untuk urusan rasmi kerajaan tidak dikenakan saman.

Dalam perkembangan lain Ismail berkata, Kadet JPJ akan diperluaskan kepada semua sekolah menengah menjelang 2020 dalam usaha mendedahkan pelajar kepada asas peraturan dan undang-undang pemanduan.

Katanya ketika ini Kadet JPJ wujud di 200 buah sekolah menengah dan mendapat sambutan yang baik di kalangan pelajar. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia