Malah konsert Ella berskala besar selepas 20 tahun itu juga meninggalkan 1001 kenangan buat semua peminat ratu rock negara itu.
Dari lagu pertama Permata Biru sehingga lagu terakhir- Gemilang, suara hadirin serta peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Ella Gangs’ bergema di stadium Melawati Shah Alam Sabtu lalu.
Hadirin yan mengenakan baju bewarna putih sebagai tanda sokongan kempen antidadah pada konsert itu juga datang daripada pelbagai peringkat umur. Manakan tidak, Ella telah mula berkecimpung dalam arena seni suara ini sejak 1985 lagi.
Pada malam itu, walaupun telah berusia lewat 40-an namun Ella yang masih bertenaga dan tidak menghampakan peminatnya apabila medendangkan 25 buah lagu- yang mana rata-rata merupakan lagu yang pernah menjadi hits suatu ketika dahulu antaranya Pengemis Cinta, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Kekal, Nuri dan Permata Permotong Permata.
Ketika lagu keenam- Dua Insan Bercinta, peminat dihidangkan dengan nyanyian Ella yang diiringi petikan gitar oleh Man Kidal dan suami tercinta Azhar Ghazali.
Selepas itu peminat sekali lagi dihiburkan oleh pasangan sejoli itu apabila Ella dan Azhar menyanyikan lagu Mendung Tak Bererti Hujan bersama-sama.
Antara kemuncak konsert, enam figura terkenal yang handal bermain gitar- Joe Wings, Eddie Hashim, Man Kidal, Lord dari The Boys, Hillary Ang serta Ritz menunjukkan kehebatan masing-masing ‘menggoreng’ lagu Belenggu secara instrumental.
Malah petikan gitar Kyoji Yamamoto- yang turut mengiringi Ella juga tidak dapat dinafikan kehebatannya. Malah, pemuzik lain seperti Fly (bass), Ujang (dram) dan Rozario Rasul (keyboard) juga ‘menyengat’. Ternyata, Man Kidal selaku pengarah muzik berjaya menghiburkan peminat sedari awal konsert hingga ke penghujungnya.
Ternyata, selepas berehat lama daripada melakukan konsert berskala besar, pengorbanan Ella berbaloi dan sememangnya konsert Sabtu lalu akan sentiasa dalam ingatan peminat setianya. Ella ratu rock yang tidak dapat dicari ganti dan masih berbisa!