Ketika ini temu duga dan pengambilan guru dikendalikan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) di peringkat pusat sebelum guru yang berjaya berkenaan, ditukarkan mengikut kekosongan di mana-mana negeri.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata cadangan tersebut telah dibincangkan dengan kementeriannya namun keputusan pelaksanaannya akan mengambil masa bagi menyelesaikan lambakan permohonan pertukaran guru seluruh negara.
“Itu satu cadangan. Untuk jangka panjang, sesuai kalau kami buat interview (temu duga) mengikut negeri dan posting selepas itu.
“Kalau kata Perak ada 400 orang yang bersara, maka kita interview 400 orang dan kalau tidak cukup misalnya, barulah kita akan ambil dari negeri yang bersempadan,” katanya.
Mahdzir berkata demikian selepas majlis perasmian program Guru Bersama Masyarakat peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Nakhoda Muhammad Taib, Segari di Lumut, Perak petang ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak Datuk Rozi Puteh Ismail.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menjangkakan akan meluluskan tambahan 4,000 permohonan pertukaran tempat bertugas bagi guru duka lara di seluruh negara sebelum akhir tahun ini.
Proses permohonan pertukaran itu jelasnya, dari Januari 2015 sehingga Jun tahun ini, seramai 14,000 guru duka lara berjaya disatukan di seluruh negara.
Menurut Mahdzir, beliau percaya masalah lambakan guru duka lara akan dapat dikurangkan dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi.
Sementara itu, ditanya mengenai lebih 14,000 pelajar tingkatan empat di seluruh negara dikesan membawa penyakit talasemia, Mahdzir berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam apa jua langkah yang boleh diambil.— Bernama