Kematian dua remaja: Polis cari individu ketiga

Dua remaja itu ditemui mati dalam sebuah kereta pagi Isnin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata polis sedang menyiasat jika terdapat individu ketiga terlibat yang boleh merungkai misteri kematian dua remaja terbabit.

“Bapa salah seorang mangsa menegaskan anaknya keluar bersama dua yang lain di dalam kereta tersebut.

“Kami sedang menyiasat dakwaan ini. Kami juga bingung bagaimana remaja terbabit boleh meninggal dunia disebabkan strok haba,” katanya.

Laporan awal bedah siasat ke atas mayat dua remaja lelaki mendapati mereka meninggal dunia disebabkan ‘strok haba’ atau kepanasan melampau dalam kenderaan.

Ab Rahman berkata Jabatan Kimia akan menjalankan siasatan lanjut ke atas kedua-dua mangsa, Mohamad Sharul Nizam Hasbullah dan Nik Muhammad Hafiz Nik Zamzam, masing-masing berusia 18 tahun.

Katanya, setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi siasatan akan terus dijalankan sama ada ia ada kaitan dengan kes jenayah.

Pada Isnin, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat dua remaja tersebut daripada orang awam, dalam kereta Perodua Kelisa di hadapan sebuah rumah di Kampung Panchor, Kemumin, pada pukul 5.55 pagi.

Siasatan awal ke atas mayat Mohamad Sharul Nizam dari Kampung Gertak Sagu dan Nik Muhammad Hafiz dari Kampung Panchor, Kemumin, mendapati tiada sebarang kesan kecederaan.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap