Kelantan terima RM400 juta tahun lalu

Walaupun tidak ditadbir Barisan Nasional (BN) Perdana Menteri berkata, negeri itu tetap menerima peruntukan yang tinggi daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Kelantan juga turut menerima peruntukan wang ihsan dan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Beliau berkata, semua peruntukan RM400 juta itu masuk ke dalam akaun kerajaan negeri, manakala agensi lain termasuk agensi persekutuan di negeri itu menerima peruntukan lain.

“Bayaran untuk Kelantan boleh dikatakan antara tertinggi walaupun negeri itu tidak berada di bawah kerajaan BN,” katanya menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nasrudin mahukan penjelasan sama ada kesemua peruntukan RM400 juta itu dimasukkan ke dalam `kantung’ kerajaan negeri atau diagihkan kepada agensi lain.

Terdahulu menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir MAS) mengenai kesediaan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan bagi menjayakan program dapur hijau dilaksanakan Kerajaan Kelantan bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ia terpulang kepada Kelantan untuk mengagihkan peruntukan dan bantuan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan program itu.

“Untuk Kelantan, sebenarnya kita beri bantuan begitu tinggi sekali, pada tahun 2015, kesemua bantuan diberi RM400 juta kepada Kelantan, bukan sedikit.

“Maknanya kita harap daripada RM400 juta ini ditambah dengan duit ihsan dan peruntukan RMK-11, terpulang pada kerajaan negeri untuk agihkan peruntukan itu bagi menjalankan program membantu rakyat Kelantan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Dr Nor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai), Perdana Menteri berkata, antara punca utama menyebabkan tekanan dari segi kos sara hidup ialah kerana taraf pendidikan sebahagian besar rakyat masih di peringkat rendah.

Beliau berkata, rakyat gagal mendapat pekerjaan yang memberikan pendapatan lebih baik kerana rakyat tidak memiliki pendidikan tinggi dan kemahiran tertentu.

“Sepatutnya lebih ramai rakyat memiliki kelulusan tambahan atau menjadi usahawan untuk meningkatkan pendapatan dan ini yang mesti kita tanam dalam minda rakya,” katanya.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia