Kemenangan Kelantan itu menyaksikan Terengganu terus merana apabila tewas kali keempat berturut sekaligus meletakkan pasukan itu dalam keadaan ‘tidak selamat’.
Memanfaatkan aksi di laman sendiri, Kelantan tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan berbahaya kepada pelawat sebelum gol pertama hadir pada minit ke-14 permainan menerusi pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor.
Mendahului 1-0 berakhir babak pertama, anak buah K Devan tampak terus bernafsu menjaringkan gol, namun jaringan kedua hanya hadir pada minit ke-63 permainan menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.
Seminit sebelum masa permainan berakhir, Kelantan menambah derita Terengganu apabila sekali lagi gawang pasukan itu yang dikawal Mohd Amierul Hakimi Awang bocor menerusi jaringan Fakhrul Zaman.
Percaturan Devan tidak menurukan beberapa tonggak utama termasuk Mohd Badri Radzi serta menampilkan pemain muda seperti Fakhrul ternyata membuahkan hasil.
Sebelum ini, Devan dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi mangsa kritikan penyokong apabila mempamerkan aksi yo-yo selain tewas dengan Pahang 4-3.
Sementara itu skuad Harimau Selatan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk terus mencipta kemenangan disekat Kedah apabila sekadar seri 1-1.
Kedah yang beraksi di laman sendiri bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit pertama menerusi Badrol Bakhtiar.
Bagaimanapun JDT berjaya menyamakan jaringan apabila memperoleh sepakan penalti pada minit akhir perlawanan separuh masa pertama.