Perkara itu diumumkan sendiri Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menerusi laman sosial Facebook miliknya.
“Berbual (mengenai) bola dengan pemilik Bari FC (Datuk Dr Noordin) sebaik beliau tiba dari Rome (Itali) petang tadi. The Red Warriors (TRW) akan menjalin kerjasama rapat dengan kelab bola sepak Itali itu.
“Insya Allah saya akan melawat Bari FC dalam masa terdekat,” katanya dalam laman sosial itu.
Annuar turut mengumumkan kesediaannya membawa skuad pantai timur itu melawat Bari FC sekiranya berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.
“Saya dan Datuk Dr Noordin akan bawa pasukan itu ke Itali. Saya juga berharap dapat membawa Bari FC beraksi menentang Kelantan di Malaysia, pada tahun ini,” katanya.
Annuar dikatakan mempunyai hubungan akrab dengan jutawan yang terbabit industri penjualan pesawat komersial itu ketika sama-sama menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD), sejak 1970 lagi.
Bulan lalu, Dr Noordin dilaporkan membeli sejumlah 50 peratus saham kelab itu yang dikatakan bernilai lebih RM50 juta.
Menerusi pemilikan baharu itu, Dr Noordin menjadi pemegang saham majoriti dengan 50 peratus manakala Presiden Bari FC 1908, Gianluca Paparesta mengekalkan 45 peratus dan lima peratus lagi milik Cosmo Giancaspro.