Kebakaran itu dipercayai berlaku di dewan bedah dan wad kecemasan dan trauma hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Sulaiman Salleh mengesahkan berlaku percikan api akibat kerja-kerja pembersihan susulan tragedi semalam.
Memetik laporan The Star, kakitangan hospital dan pesakit kelihatan berlari keluar daripada wad berkenaan.
Asap turut dilaporkan kelihatan di dewan bedah yang terletak di tingkat satu bangunan hospital terbabit.
Jentera bomba juga turut kelihatan memasuki kawasan perkarangan hospital dan kakitangan, pesakit serta orang ramai juga diarahkan keluar meninggalkan bangunan tersebut.
Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, insiden pada pukul 1.35 petang itu berlaku akibat air yang terpercik ke soket eletrik semasa proses pembersihan yang mengakibatkan kepulan asap terhasil.
Beliau melalui laman Facebook miliknya berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, 38 orang pesakit telah dipindahkan keluar dari empat buah wad dari tingkat tiga dan empat bangunan Sayap Barat.
“Keadaan adalah terkawal dan tiada api kebakaran dilihat. Tiga orang jururawat telah menghidu asap tersebut dan kini sedang mendapat rawatan.
“Orang ramai dinasihatkan bertenang dan tidak membuat spekulasi lanjut mengenai insiden ini. Situasi lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Semalam kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut mengakibatkan enam kematian.
Dipercayai kebakaran kali ini adalah lebih kecil dan situasi dapat dikawal.