KDN sentiasa kemas kini maklumat keselamatan negara

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jika berlaku sesuatu peristiwa atau ada maklumat penting yang diperlukan, maka ia secara automatik akan disampaikan kepada mereka.

“Ini supaya tidak akan timbul persepsi bahawa kami mahu menyembunyikan fakta dan tidak memberitahu hal yang sebenar sebab mereka bertanggungjawab untuk memberitahu kepada negara dan Kementerian Luar masing-masing mengenai kedudukan keselamatan dan beberapa isu lain di Malaysia,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan Taklimat Situasi Terkini Keselamatan Negara Kepada Perwakilan Negara-negara Asing di Malaysia, Ahmad Zahid berkata, KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa serius dalam menangani keganasan dan jenayah.

Katanya, ketika sesi soal jawab bersama 86 perwakilan asing dan tujuh pertubuhan antarabangsa itu, tidak banyak soalan dikemukakan kerana mereka telah memahami situasi di negara.

“Ini adalah taklimat kali kedua untuk tahun ini, kami juga akan mengadakan siri perbincangan berkenaan maklumat yang perlu dikemas kini. Walaupun kami tidak bertanggungjawab kepada mereka tetapi kerana soal diplomatik kami harus memaklumkan kepada mereka,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya merasakan bahawa semua maklumat terkini soal keselamatan harus diketahui oleh mereka agar tidak hanya bergantung kepada laporan media.

“Saya yakin kepada media konvensional tetapi ada media yang bukan konvensional yang mensensasikan maklumat itu, umpamanya kadar jenayah menurun namun persepsi tidak meningkat dan tidak mencapai keseimbangan mengenai realiti yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata peningkatan dalam kesiapsiagaan untuk pemantauan dan pembanterasan kegiatan keganasan dan jenayah telah dilakukan dengan menambah peralatan dan aset.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga telah berikan kelulusan jawatan tambahan kepada unit tertentu dalam PDRM untuk menambah kekuatan pemantauan dan juga melakukan usaha pembanterasan,” katanya. -Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia