Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24 berkata kehadiran Azrel dalam hidupnya hanya dianggap sebagai teman baik jauh sekali teman istimewa meskipun aktor itu pernah membuat kenyataan mereka kini sedang dilamun cinta sejak setahun lalu.
“Saya tahu ada kenyataan bercanggah tentang hubungan kami dan secara jujurnya kami tidak bercinta pun seperti dikatakan namun sekiranya ditakdirkan ada jodoh di antara kami saya tidak menolak.
“Bagaimanapun saya menghormati dia sebagai kawan baik dan turut mendoakan agar dia bertemu dengan wanita yang sesuai dengannya,” ujarya.
Teguh dengan pendiriannya, aktress kelahiran Melaka itu turut menegaskan bahawa mereka juga tidak pernah keluar berdua-duaan seperti pasangan kekasih.
“Kami sebenarnya tidak pernah keluar bersama atas urusan peribadi atau sekadar melepak dan kebiasaannya bertemu di majlis-majlis hiburan,” katanya memetik mStar Online.
Azrel sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa dia dan Ruhainies telah menyulam cinta sejak setahun lalu.
“Memang benar saya dan Ruhainies bercinta. Doakan semoga hubungan yang baru berputik ini berjalan lancar.
“Namun, saya tidak mahu tergesa-gesa dalam soal ini memandangkan kami berdua sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon, biarlah kami mengecapi kejayaan terlebih dahulu,” katanya sebelum ini.