Jika diikutkan kepada khabar angin itu, sudah tiga kali GST naik iaitu kali pertama selepas harga minyak jatuh pada Januari 2016, kali kedua ketika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan ketiga selepas BN berjaya menang dengan bergaya pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Ketika PRN Sarawak pada April 2016, DAP Sarawak mendakwa kerajaan akan menaikkan GST sekurang-kurangnya 10 peratus jika BN menang besar di negeri itu. Dakwaan berkenaan dibuat oleh Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen.
Sedangkan sebelum itu, pada 12 Januari 2016, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menyatakan “Saya sendiri merupakan anggota Kabinet, kenaikan GST sama sekali tidak pernah dibincangkan”.
Kenyataan ini dibuat kerana Rafizi membuat spekulasi dalam Facebooknya bahawa GST akan naik kerana harga minyak jatuh
Manakala kali ketiga cerita GST hendak naik dimainkan pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pula, bekas ketua penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman mendakwa GST akan naik 8 peratus.
Kalau diikutkan putar belit berkenaan, agaknya sudah berapa kali GST naik?
Kini menjelang pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini, isu berkenaan sekali lagi dikitar semula dan diputar belit dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan rakyat.
Empat kali cerita GST hendak naik sudah dimainkan dalam tahun ini sahaja.
Hakikatnya Perdana Menteri sendiri sudah beberapa kali menegaskan kadar GST sebanyak 6 peratus adalah kekal kerana rakyat masih belum bersedia menyerap sebarang kenaikan kadar GST dan kerajaan prihatin terhadap isu kos hidup rakyat.
Jika benarlah akan ada kenaikan seperti yang didakwa, pembangkang sepatutnya menamakan siapa yang membuat kenyataan berkenaan?
Adakah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri-menteri? Atau adakah ia disebarkan oleh profesor `kedai kopi’ sahaja. Sila nyatakan bukti siapa yang membuat kenyataan bahawa kenaikan GST akan berlaku.
Janganlah kita cepat terpengaruh dengan cerita-cerita berkenaan yang sering disebarkan setiap kali ada benda penting akan berlaku.
Pembangkang membuat cerita berkenaan semata-mata untuk meraih sokongan walaupun apa yang dilakukan oleh kerajaan itu adalah baik untuk rakyat.
Ia merupakan propaganda jahat dan semua ini menunjukkan mereka sudah kehilangan modal selepas banyak perkara yang mereka rancang selama ini, bertujuan semata-mata untuk menggulingkan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional tidak berjaya.
Sedangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengakui bahawa GST merupakan satu cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara.
“GST merupakan cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara. Adakah kerajaan mempunyai kaedah untuk mengesan peniaga yang cuba lari daripada membayar cukai ini atau mungkin kerajaan ada alternatif lain bagi menggantikan GST,” katanya ketika melontarkan soalan tambahan berkaitan GST kepada Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Justeru, janganlah cepat melatah apabila mendengar kononnya kadar GST akan naik lagi kerana itu semua adalah fitnah jahat.
Empat kali cerita GST ini direka reka, semuanya dibuat bertujuan hanya satu iaitu menaikkan kemarahan rakyat semata mata.
Dipetik dari Facebook Beruang Biru
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi pemilik akaun Facebook dan tidak mempunyai kaitan dengan pihak editorial SmasaNews.com