Kain ihram dan duit belanja bakal jemaah haji hangus terbakar

Bakal jemaah haji Sabah yang dijadual berangkat ke tanah suci pada 20 Ogos nanti itu adalah antara lebih 250 penduduk Kampung Tanjung Batu Tengah, Tawau Sabah, hilang tempat tinggal akibat kebakaran memusnahkan kira-kira 50 rumah, Selasa lalu.

Lebih memilukan Normah, wang simpanannya berjumlah RM5,000 untuk digunakan sebagai perbelanjaan harian sepanjang 40 hari berada di tanah suci turut hangus.

Menceritakan peristiwa itu, ibu kepada lapan anak itu berkata, ketika kejadian dia berada di hospital kerana menziarah ahli keluarga yang sakit sebelum dihubungi oleh seorang anaknya memaklumkan rumah mereka terbakar.

“Saya bergegas pulang namun sudah terlambat. Barang kelengkapan untuk menunaikan haji yang disiapkan lebih awal semuanya hangus, malah RM5,000 wang simpanan hanya tinggal debu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari Selasa lalu, lebih 50 rumah di Kampung Tanjung Batu Tengah musnah dalam kebakaran mengakibatkan lebih 250 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Bercerita lanjut, Normah yang kematian suami pada tahun 2008 berkata, biarpun wang dan semua kelengkapan haji musnah sama sekali, ia tidak mematahkan semangatnya menyahut seruan Allah SWT ke tanah suci selepas penantian hampir 40 tahun untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, anaknya, Hasmawati Baharudin, 32, berkata, mereka sekeluarga merancang mengadakan kenduri kesyukuran pada 11 Ogos ini sebelum ibunya berangkat menunaikan haji, namun kini tidak pasti sama ada ia dapat diteruskan atau sebaliknya. –Berita Harian Online

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia