Naib Presidennya, Datuk Rosmadi Ismail berkata dalam masa sama, persatuan itu turut mengatur kewangan mereka untuk terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
“Kami berharap sumber (penaja) yang sudah dikenal pasti itu dapat membantu persatuan secepat mungkin dengan jumlah penajaan yang dipersetujui sebelum ini.
“Selain berharap kepada penaja sedia ada, kami masih lagi mencuba dan mencari sumber lain yang bersesuaian bagi membantu kami dari aspek perbelanjaan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.
Pada 3 Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melakukan pemotongan mata kepada Kafa sekiranya persatuan itu gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.
Lima bekas pemain berkenaan yang belum menerima tunggakan gaji ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka dengan Kafa untuk menyertai pasukan lain musim ini.
Mengulas lanjut, Rosmadi berkata ketika ini pihaknya amat bergantung kepada penajaan bagi terus menggerakkan persatuan.
Beliau berkata Kafa akan mengemukakan rayuan kepada FAM jika masih gagal menjelaskan tuntutan gaji tertunggak lima pemain terbabit, dan masa sama akan cuba membuat pembayaran mengikut jadual yang telah ditetapkan. – Bernama