Pengumuman itu dipetik laman sosial Facebook miliknya semalam yang turut memberitahu, tunggakan gaji untuk lima bekas pemain pasukan tersebut juga akan dijelaskan dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Perdana, pada Jumaat.
“Esok (hari ini) saya akan lunaskan tunggakan lima bekas pemain seperti mana di arah oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Kita juga beri bonus khas kerana mengalahkan Pahang dan Terengganu, baru-baru ini.
“Walaupun hanya seri 3-3 dengan Selangor,saya beri bonus seperti kita menang. Ini sebagai penghargaan kepada semangat juang TRW, malam tadi (kelmarin),” katanya.
Menurutnya, walaupun terpaksa berhutang buat sementara, namun beliau syukur dan gembira dengan prestasi dan sikap yang ditunjukkan pasukan, selain berharap semangat tersebut dapat dikekalkan dalam perlawanan-perlawanan akan datang.
Dalam pada itu, Annuar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penyokong yang tidak jemu dan setia menyokong pasukan TRW selama ini.