Kadar Kematian Kanak-Kanak Akibat Kekurangan Zat di Gaza Semakin Meningkat

GAZA: Kementerian Kesihatan berkata kematian di Gaza akibat perang Israel-Palestin hampir mencecah 30,000 mangsa, dengan semakin ramai kanak-kanak maut akibat kekurangan zat, dalam perang yang berlanjutan hampir lima bulan ini.

Ketika pengantara menegaskan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas mungkin berlaku dalam beberapa hari lagi, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mungkin sudah terlambat bagi menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra, dua kanak-kanak maut akibat dehidrasi dan kekurangan zat makanan di hospital Al-Shifa di Gaza serta menggesa tindakan segera institusi antarabangsa bagi mencegah lebih banyak kematian seumpamanya.

“Jumlah kematian kebuluran dalam kalangan kanak-kanak meningkat kepada enam iaitu sekurang-kurangnya lima daripada mereka di utara wilayah yang dikepung sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Sementara itu, satu protes yang jarang berlaku diadakan semalam, di bandar selatan Rafah oleh hampir 1.5 juta rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat peperangan.

Mereka kecewa kerana kini terperangkap di wilayah selatan itu tanpa mengetahu nasib masa depan dan tanpa sebarang bantuan kebajikan, perubatan atau makanan, ibarat hanya menunggu ajal diserang tentera Israel.

Dalam pada itu, kumpulan bantuan turut memberi amaran bahawa walaupun ratusan ribu penduduk Gaza telah melarikan diri ke selatan sejak permulaan perang, mereka yang kekal di utara wilayah itu menghadapi keadaan yang semakin terdesak.

Kebanyakan trak bantuan disekat di tengah jalan tetapi tentera asing dilaporkan menggugurkan bekalan udara ke selatan Gaza.

Ini kerana setiap bantuan yang masuk ke Gaza melalui Rafah, tentera Israel memberi amaran melancarkan serangan darat, yang berpotensi hanya selepas gencatan senjata.

Walaupun rancangan Israel untuk Gaza selepas perang mengecualikan sebarang pembabitan Pihak Berkuasa Palestin (PA), sekutu utamanya Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa lain meminta PA dirombak semula untuk mengambil alih wilayah itu serta menduduki Tebing Barat.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, berkata kerajaan Palestin ‘teknokrat’ tanpa campur tangan Hamas diperlukan untuk ‘menghentikan perang gila ini’ dan memudahkan operasi bantuan dan pembinaan semula.

“Hamas sepatutnya memahami perkara ini, dan saya percaya mereka menyokong idea untuk menubuhkan kerajaan teknokratik untuk tempoh peralihan,” katanya.

Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh, yang meletakkan jawatan minggu ini, memetik keperluan untuk perubahan selepas perang berakhir. – AFP

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia