Melalui kenyataannya di laman Facebook, Bank Negara menyatakan, kad bank tanpa sentuh yang dikeluarkan itu dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan yang tidak memungkinkan maklumat kad tersebut boleh dicuri menggunakan kaedah elektronik (electronic pick-pocketing).
Kenyataan itu menyebut, cip pada kad bank yang dikeluarkan itu menjana kod dinamik bagi setiap transaksi manakala bagi transaksi online pula, pemegang kad dikehendaki memasukkan kod pengesahan urusniaga atau (transaction authorisation code) TAC yang akan dihantar kepada telefon mudah alih yang telah didaftarkan.
“Maklumat penting pada kad tidak boleh diambil dengan cara ‘electronic pick-pocketing’ untuk mengklonkan kad terbabit atau digunakan oleh individu tertentu bagi transaksi yang tidak dibenarkan.
“Untuk itu, pemegang kad dinasihatkan untuk melindungi kad pembayaran dan nombor pengenalan peribadi (PIN) mereka pada setiap masa,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan itu, pemegang kad perlu memaklumkan kepada bank pengeluar kad dengan kadar segera sekiranya kad pembayaran mereka hilang atau dicuri, atau PIN mereka terdedah atau mereka menyedari apa-apa transaksi yang tidak dibenarkan telah digunakan ke atas kad mereka.