Juruterbang meninggal pada hari ulang tahun

Demikian kata rakan seperjuangan kepada juruterbang TUDM Mejar C. Kayamboo yang maut akibat insiden pesawat jenis Beechcraft B200T yang dikendalikannya terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth pada 5.18 petang Rabu.

Menurut Mejar Hassan Basri Tajul Arifin, kesedihan amat dirasai kerana rakan setugasnya itu merupakan seorang yang cukup ceria dan suka membantu rakan sekerja jika mengalami kesukaran.

“Baru pagi tadi, saya bertegur sapa dengan beliau pada Majlis Serah Terima Tongkat Kuasa Panglima TUDM yang diadakan di Pangkalan TUDM Subang, namun saya terlupa mengucapkan selamat hari lahir kepadanya,” kata beliau.

Hassan, 37, yang bertugas di No 2 Skuadron, Subang, berkata, mendiang Kayamboo yang berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Subang disifatkan sebagai seorang perwira yang sanggup berkorban demi tugas.

“Mejar Kayamboo sanggup meninggalkan keluarga di utara tanah air semata-mata menumpahkan kesetiaan demi menjaga keselamatan maritim negara apabila diarahkan,” katanya.

Beliau mengenali mendiang sejak 2003 dan bersama-sama bertugas sebagai jurulatih di Alor Star, Kedah satu ketika dulu.

Beliau berkata, mendiang merupakan seorang yang peramah dan sering menyapa setiap orang walaupun mendiang pegawai kanan.

“Mendiang juga seorang bapa dan suami yang amat mencintai isteri dan anak-anak, kerana beliau pernah berkongsi kisah hidup yang amat beliau hargai dalam setiap detik hidupnya,” kata beliau.

Hassan Basri berkata, mendiang Kayamboo akan terus dikenang kerana sering memudahkan urusan anggota yang lain ketika hayatnya.

Dalam kejadian pada 5.18 petang semalam, sebuah pesawat jenis Beechcraft B200T terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth, menyebabkan juruterbang Kayamboo maut, manakala tiga yang lain cedera.

Sumber polis berkata, mayat Kayamboo dan kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia