Juruteknik didakwa galak perbuatan, miliki bahan berkait pengganas

Ahmad Faris Zulkefli, 20, didakwa dengan pengetahuan telah menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas melalui aplikasi WeChat atas nama Pak Kodi dengan menggunakan nama mujahidin333 sebagai WeChat ID.

Dia yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat 16-0-2, Kelumpuk Teratai 16, Jalan 5/56 AU3, Keramat, antara 9 Jun dan 30 Julai lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130G kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Faris turut didakwa memiliki sehelai baju hitam bertulisan jawi dan gambar-gambar di dalam tablet jenis Ipad Mini yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh di tempat sama, pada 10.45 pagi, 29 Ogos lepas.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin yang kemudiannya menetapkan 28 Okt. untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahannya tertakluk kepada Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tertuduh dibawa ke Penjara Sungai Buloh. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap