Suspek yang merupakan seorang jurujual kosmetik berusia 34 tahun itu ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu kira-kira pukul 1.30 petang.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, hasil risikan dan maklumat awam, pasukan polis berjaya mengesan suspek membawa satu plastik keluar dari Wisma Merdeka menuju ke Jeti Tunku Abdul Rahman dipercayai untuk diserahkan kepada seorang lagi rakannya.
Namun menurutnya, ketika dalam perjalanan dan menyedari dihampiri polis, suspek membuang bungkusan itu dan bertindak melarikan diri.
“Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek dan merampas bungkusan plastik yang dibawanya.
“Hasil pemeriksaan di dalam plastik itu menemukan dua bungkus hablur berwarna putih dipercayai dadah jenis syabu seberat 2.02 kilogram dengan nilai RM260,000,” katanya memetik laporan Utusan Online.