Pasangan berusia 25 tahun itu ditemui dalam bilik sebuah hotel bajet di Batu Berendam dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah kira-kira jam 1.30 pagi.
Difahamkan, pasangan wanita terbabit ditemui berbaju namun bertuala di atas katil ketika tunangannya membuka pintu selepas diarahkan anggota penguat kuasa.
Pegawai Penguat kuasa JAIM, Noraminuddin Azis berkata, wanita berasal dari Selangor itu memberi alasan datang ke negeri ini untuk berjalan-jalan dengan tunangnya yang tinggal di negeri ini sebelum mendaftar masuk hotel berkenaan.
“Pasangan itu ditahan selepas didapati bersekedudukan tanpa ikatan sah bersama enam pasangan kekasih lain ketika pemeriksaan di hotel di Cheng, Durian Tunggal dan Batu Berendam.
“Tujuh pasangan berusia 23 hingga 41 tahun termasuk seorang berstatus isteri orang ditemui bersekedudukan di dalam bilik hotel, ditahan operasi selama hampir lima jam bermula 10.30 malam,” katanya.
Noraminuddin berkata, kesemua 14 individu yang ditahan oleh 15 anggota terbabit kemudian dibawa ke pejabat penguat kuasaan JAIM bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1992, memetik Sinar Harian.