Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata enam pusat pemindahan baharu dibuka menjadikan 55 pusat pemindahan banjir setakat ini di enam jajahan.
“Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,063 orang daripada 1,182 keluarga yang ditempatkan di 18 pusat pemindahan diikuti dengan 905 orang (231 keluarga) di sembilan pusat pemindahan di Kuala Krai, 567 orang (136 keluarga) di 15 pusat pemindahan di Tanah Merah dan 424 orang (114 keluarga) di lapan pusat pemindahan di Machang.
“Manakala di Jeli dan Pasir Puteh, bilangan mangsa masih kekal seperti tengah hari tadi iaitu 259 orang (65 keluarga) di empat pusat pemindahan di Jeli dan 27 orang (lima keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Pasir Puteh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Sementara itu, paras air di dua sungai utama di Kelantan telah melepasi paras bahaya setakat pukul 4 petang ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my.
Dua sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Kelantan dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah adalah 17.85 meter(m) berbanding 17.64m tengah hari tadi (paras bahaya 16m) manakala paras air Sungai Golok di Rantau Panjang adalah 10.45m berbanding 10.35m tengah hari tadi (paras bahaya 9m).
Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai meningkat sedikit pada paras 23.76m berbanding 23.67m tengah hari tadi (paras bahaya 25m).
Paras air Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang pula susut kepada 32.44m berbanding 32.54m tengah hari tadi (paras bahaya 35m) dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai pula surut kepada 34.06m berbanding 34.19m tengah hari tadi dan masih di bawah paras bahaya iaitu, 38m. – Bernama