Juanda diumum calon PBB PRN Sarawak

Pemilihan Juanda, yang juga merupakan bekas felo di pusat pengajian di Universiti Oxford, diumumkan bersama 10 lagi calon lain dalam sebuah acara di Kuching.

Juanda dipilih mewakili BN bagi kerusi Jemoreng.

Jemoreng merupakan sebuah kampung di daerah Matu, Sarawak yang mana penduduknya terdiri daripada kaum Melanau yang beragama Islam.

Kegiatan ekonomi utama bagi penduduk adalah aktiviti pertanian. Ini termasuklah mengusahakan padi huma, pertanian sayur dan buah-buahan serta penternakan lembu, itik dan ayam.

Kerusi itu sebelum ini dimenangi Abu Seman Jahwie, yang juga setiausaha politik kepada ketua menteri Sarawak, yang tidak dipilih bertanding lagi atas faktor kesihatan.

Pada 2011, Abu Seman mendapat 4,505 undi mengalahkan calon bebas Abdul Hafiz Noh (1,579 undi) dan Asbor Abdullah (77 undi). Jemoreng mempunyai 8,635 pemilih berdaftar.

Juanda, berbangsa Melanau, dilahirkan di Sibu. Beliau memegang jawatan mufti Perlis bermula Januari 2009 hingga 2011.

Sebelum ini beliau pernah diura-urakan akan bertanding di DUN Kangar mewakili parti PKR pada pilihan raya umum ke-13, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Tujuh lagi calon daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diumumkan termasuklah; Datuk Idris Buang (Muara Tuang); Awla Dris (Simunjan); Shafiee Ahmad (Daro); Mohd Chee Kadir (Kabong); Jefferson Jamit Unyat (Bukit Goram); Datuk Abdul Wahab Aziz (Kalaka); dan Datuk Ambrose Blikau (Katibas).

Kerusi Kabong dan Bukit Goram adalah dua daripada 11 kerusi baharu dalam pilihan raya negeri itu selepas persempadanan semula.

Tiga lagi calon langsung ialah Miro Simuh (Serembu), John Ilus (Bukit Semuja) dan Gerawat Jala (Mulu).

Adenan yang juga pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB dilaporkan berkata, setakat ini kesemua bakal calon untuk 40 kerusi yang akan ditandingi PBB telah diumumkan.

Related posts

PRN Sarawak ke-11 telan belanja RM135.6 juta

Itu hak Adenan – Masing

Nazri umum peruntukan RM210,000 untuk 41 ranting PBB Pantai Damai