Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, mesyuarat tersebut akan melibatkan pihaknya menerusi Majlis Kanak-Kanak dan agensi berkaitan lain.
“Mesyuarat itu juga akan melibatkan pihak dari Kementerian Luar kerana laporan yang ditulis oleh agensi berita luar negara itu telah mencemar nama Malaysia,” katanya di Santubong pada Ahad.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung paparan dokumentari mendakwa ‘Malaysia: Bayi Untuk Dijual’.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan berikutan paparan video itu dibuat bagi membolehkan tindakan susulan dan langkah sewajarnya diambil.
Jelas beliau, pihaknya tidak menafikan aktiviti berkenaan wujud, namun tidaklah semudah yang digembar gemburkan dalam video berdurasi lebih seminit itu memandangkan polis memantau aktiviti-aktiviti sedemikian.