“Malah inilah juga yang telah dilakukan oleh Dr Mahathir sewaktu memimpin negara suatu ketika dahulu. Dr Mahathir melawat ke seluruh dunia, meyakinkan pelabur asing untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang dan projek.
“Jadi apa yang kami lakukan di Johor adalah meneruskan formula pertumbuhan yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir sendiri,” kata Khaled.
Khaled turut membidas Dr Mahathir dengan menegaskan pemilikan hartanah asing di Johor hanyalah sekitar 2% atau 116,872 orang untuk mengisi unit hartanah bagi warga asing berbanding keseluruhan hak milik hartanah di Johor iaitu sebanyak 1,452,931 unit.
Beliau berkata, angka itu jelas jauh tersasar daripada 700,000 warga asing akan menetap di Johor dan bakal diberikan kerakyatan untuk mengundi kerajaan pemerintah, seperti didakwa Dr Mahathir dalam blog miliknya, semalam.
“Jumlah pemilikan asing itu hanyalah 2.01 peratus daripada jumlah keseluruhan hak milik hartanah di Johor, iaitu sebanyak 1,452,931 unit.
“Sekiranya kita mengambil kira empat orang bagi setiap unit hartanah, berdasarkan anggaran Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sekurang-kurangnya 116,872 orang sahaja yang mengisi unit-unit hartanah yang dimiliki oleh orang asing itu,” kata Khaled, dalam kenyataannya, hari ini.
Khaled berkata, kenyataan Dr Mahathir yang tidak konsisten dengan angka yang digunakannya juga membuktikan dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak berasas.
“Malah dalam entri terbaharunya, Dr Mahathir menganggarkan Johor Bahru akan didiami oleh 1.5 juta warganegara asing. Jelas beliau tidak konsisten dengan angka yang digunakannya.
“Percanggahan angka tersebut dengan sendirinya menjawab bahawa dakwaan Dr Mahathir ternyata sangat tidak berasas dan dilakukan dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat,” kata Khaled.
Khaled menjelaskan, sebagai bekas perdana menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun, Dr Mahathir sudah semestinya arif mengenai proses keluhuran undang-undang serta prosedur ketat berkaitan permohonan seseorang individu untuk mendapat kerakyatan sesebuah negara.
Beliau berkata, proses memohon dan mendapatkan status warganegara Malaysia oleh orang asing adalah proses yang sukar, ketat dan memerlukan pertimbangan teliti kerajaan dalam pelbagai aspek.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas itu berkata Malaysia juga adalah negara yang sangat tegas dan sukar untuk memberikan kerakyatan kepada mana-mana warga asing.
“Malah ratusan ribu lagi mereka yang telah dilahirkan di Malaysia dan telah tinggal di negara ini begitu lama tetapi masih belum diberikan kerakyatan.
“Kita juga tidak mempunyai dasar yang membolehkan sesiapa yang memiliki hartanah di dalam negara, untuk layak memohon kerakyatan Malaysia. Yang jelas, pemilikan hartanah di Malaysia tidak memberi sebarang keistimewaan dalam proses memohon status kewarganegaraan.
“Dr Mahathir perlu bersikap objektif dengan hakikat bahawa membuka peluang untuk pemilikan hartanah oleh warga asing di negara kita sama sekali berbeza dengan memberi kerakyatan Malaysia kepada mereka,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan, dasar kemasukan pelaburan terus asing di negeri itu juga tidak pernah bersifat selektif dengan tidak ada ada negara yang menjadi keutamaan.
Khaled berkata, mana-mana pelaburan yang boleh menyumbang kepada pembangunan Malaysia amat dialu-alukan dan ini termasuk dari China kerana negara itu adalah kuasa ekonomi kedua terbesar dunia yang mana akan menjadi kuasa ekonomi utama global.
“Adalah sangat tersasar untuk menyatakan hartanah di Johor hanya untuk pelabur dari China. Sedangkan semua pemaju yang beroperasi di Johor tidak menumpukan rakyat China semata-mata.
“Strategi pemasaran mereka bersifat global termasuk termasuk menerusi pengiklanan stesen penyiaran paling berpengaruh dunia, CNN. Sasaran mereka pastinya turut mengambil kira potensi pelaburan dari pelbagai kewarganeraan termasuk Indonesia, India, Korea, Jepun dan Australia.
“Pada saya, telahan Dr Mahathir dalam isu ini, tidak ubah seperti kecaman tidak berasas yang sering dilakukan oleh DAP ke atas Johor. Semuanya kelihatan seakan-akan tidak senang untuk melihat kejayaan dan kemajuan yang sedang diusahakan oleh seluruh warga Johor,” kata Khaled lagi.