JKSM, Mahkamah Syariah perlu idea baharu, transformasi tingkatkan perkhidmatan

PUTRAJAYA: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan mahkamah syariah mempunyai peranan signifikan dalam melaksanakan teras ketiga Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) iaitu Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Islam.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie JKSM, Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, usaha mengangkat martabat perundangan dan kehakiman Syariah memerlukan kepada reformasi dan transformasi perkhidmatan.

Beliau berkata, selaras dengan nilai daya cipta dalam dasar Malaysia MADANI, kepemimpinan JKSM dan Jabatan Kehakiman Syariah/Mahkamah Syariah Negeri-Negeri perlu menggarap idea dan mencanai minda bagi menghasilkan suatu pembaharuan perkhidmatan yang boleh memberikan impak signifikan kepada kumpulan sasar.

Katanya, pemberian keadilan yang segera dan betul melalui keputusan dan perintah mahkamah hendaklah sentiasa menjadi keutamaan.

“Tidak nafikan bahawa peruntukan undang-undang terutamanya undang-undang prosedur adalah mengikat, namun ada ruang yang membolehkan kita menggunakan daya cipta dan budi bicara dan paling penting maqsad ataupun objektif keadilan mengikut hukum syarak tetap dipelihara,” katanya ketika berucap merasmikanMajlis Wacana Kehakiman dan Perundangan Syariah 2024 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang Jabatan Peguam Negara, Datuk Anas Ahmad Zakie dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Mohd Amran berkata, dalam konteks penyampaian perkhidmatan faktor kepantasan adalah penting dalam menyelesaikan sesuatu kes dengan segera dan ia menjadi satu daripada cabaran besar yang diharapkan oleh pelanggan mahkamah Syariah.

Beliau berkata, setiap kes perlu dibicarakan dan diselesaikan dengan pantas tanpa mengabaikan kehendak hukum dan undang- undang.

Mohd Amran berkata, semua birokrasi yang wujud dalam sesuatu proses pengurusan serta pentadbiran hendaklah dikurangkan atau dihapuskan.

Beliau berkata, semua pihak perlu sedaya upaya meneroka sebarang inovasi yang boleh membantu penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dengan cepat, tepat dan berkesan. -Berita Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia