Jerebu kembali ekoran titik panas di Indonesia meningkat

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keadaan itu dipengaruhi jerebu merentas sempadan berikutan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera tengah yang dibawa angin Monsun Barat Daya.

Berdasarkan laporan Asean Specialised Meteorological Centre yang berpusat di Singapura semalam, bilangan titik panas yang dikesan di Indonesia terus meningkat sejak beberapa hari lalu, katanya.

“Melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration 19, sebanyak 48 titik panas dikesan di Sumatera dan 49 di Kalimantan,” Wan Junaidi berkata dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan keadaan di Lembah Klang yang dilaporkan berjerebu dan berasap sejak tengah hari semalam.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar memantau rapi status dan trend kualiti udara setiap jam berikutan masih terdapat titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan.

“Keadaan itu boleh menyebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan berterusan ke pantai barat Semenanjung Malaysia dan ke Sarawak,” katanya.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, tiga titik panas dikesan dalam negara iaitu di Pahang (1) dan Sarawak (2) dan akan disiasat serta diambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.

“Semua pihak diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan, kata Wan Junaidi.

Beliau meminta orang ramai bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan juga melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia