PAPAR: Keadaan jerebu akibat pembakaran terbuka dan kemarau yang melanda daerah ini serta beberapa kawasan di Sabah membuatkan ibu bapa bimbang membenarkan anak mereka berada di luar, termasuk ke sekolah yang sesi pembelajaran masih berjalan seperti biasa.
Suri rumah, Noor Syakira Zulkifli, 39, berkata kegusaran itu bertambah apabila anak perempuannya berusia 11 tahun mengadu matanya menjadi merah dan gatal hingga sukar melihat dengan baik.
Sebagai langkah pencegahan, ibu tiga anak itu mengehadkan masa anaknya berada di luar rumah dan hanya membenarkan mereka keluar jika ada perkara penting seperti ke sekolah.
“Keadaan jerebu pada Rabu lepas lebih teruk berbanding hari ini sebab ada kebakaran sawah padi. Saya harap jika keadaan ini (jerebu) berterusan, pihak sekolah ada inisiatif lain seperti memendekkan waktu pembelajaran,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau yang berasal dari Kampung Takis, di sini, berkata sepanjang pengetahuannya, ini kali pertama Papar diisytiharkan kawasan bencana kemarau dan pihak bertanggungjawab diharap dapat membantu penduduk setempat.
Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Abdul Razak Muda dilaporkan berkata, jabatan itu memadam kebakaran terbuka melibatkan kawasan seluas 1,721.29 hektar dari Januari hingga Khamis lepas dan berusaha memadamkan 62.56 hektar kawasan masih terbakar dengan kebanyakannya di pantai barat negeri itu.
Rabu lalu, Jabatan Pengurusan Bencana Papar mengisytiharkan daerah kira-kira 38km dari Kota Kinabalu itu kawasan bencana kemarau susulan krisis bekalan air di tahap kritikal akibat cuaca panas.
Sementara itu, pekerja swasta, Jamal Awang, 30, turut bimbang kerana anak lelaki berusia 10 tahun mempunyai masalah asma sejak kecil dan keadaan itu bertambah buruk berikutan jerebu serta kemarau.
“Sebagai bapa, memang bimbang dengan kesihatan anak saya itu, jadi saya harap ada kelonggaran, terutama pihak sekolah dari segi kehadiran dan sesi pembelajaran,” katanya sambil menambah ketiadaan bekalan air juga menyukarkan ibu bapa menguruskan anak.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut di sini, Izmir Affendi Mohd Hazman, 16, berkata pemakaian pelitup muka perlu ketika ke sekolah, walaupun belum diwajibkan.
“Kami ambil langkah berjaga-jaga, semasa Covid-19 kita sudah biasa pakai pelitup muka, guna cecair pencuci tangan dan jaga kebersihan, jadi kita amalkan semula, selain bawa ubat mata ketika jerebu dan kemarau ini.”
Rakannya Irene Lucy Olumis, 15, berkata pembelajaran dalam talian ketika Covid-19 dahulu boleh dilaksanakan semula, jika keadaan jerebu dan kemarau semakin teruk di kawasan ini.
“Kita dah ada pengalaman belajar dalam talian dan kemudahan pun sudah ada, jadi saya rasa tiada masalah untuk laksanakan semula. Bukan saja ibu bapa, kami yang pergi sekolah hari-hari lagi risau kerana terdedah jerebu dan cuaca panas yang tidak selesa untuk belajar.” –Bernama