Kekalahan itu bererti JDT tersingkir menerusi agregat 2-4 selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam pertemuan pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Beraksi tanpa tiga tonggak pasukan, Amri Yahyah, Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero jelas menjejaskan rentak permainan JDT yang sedikit goyah sewaktu menyerang.
JDT bermula baik apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi ketua pasukan Safiq Rahim yang menanduk bola hasil tangkapan kurang kemas penjaga gol Bengaluru sewaktu cuba menyelamatkan rembatan kencang Safee Sali.
Namun Bengaluru menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi Sunil Chettri yang menanduk masuk sepakan sudut Eugeneson Lyngdoh.
Babak kedua menyaksikan penguasaan bola lebih dimiliki Bengaluru yang banyak mengatur serangan ke kubu JDT.
Hasilnya pada minit ke-67, sepakan lencong Sunil dari luar kotak penalti berjaya menembusi gawang JDT untuk membolehkan pasukannya mendahului 2-1.
JDT terus dirundung malang apabila dihukum jaringan ketiga tuan rumah menerusi Juan Antonio yang menanduk masuk sepakan percuma pada minit ke-75, untuk kedudukan 3-1 yang kekal hingga tamat perlawanan.
Bengaluru akan bertemu Air Force Club dalam aksi final pada 5 November depan, selepas kelab dari Iraq itu menewaskan Al Ahed dari Lubnan dengan agregat 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir. – Bernama