“Kebakaran pada 2015 tentu masih dalam ingatan kita semua. Ketika itu, kita memang dalam keadaan kucar-kacir. Apabila kebakaran sudah melibatkan kawasan luas, tiada lagi usaha untuk menanganinya
“Jadi kali ini, ada atau tidak kebakaran peralatan dan aset perlu disediakan.
“Jangan apabila kebakaran berlaku, barulah mahu menyewa pesawat. Ini sudah terlambat,” katanya.
Jokowi berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bersama beberapa agensi berkaitan kebakaran hutan dan belukar di Istana Negara, Selasa.
Sehubungan itu, Jokowi mahu semua pihak bertindak cepat mencegah, menangani dan memadam kebakaran hutan dan belukar pada tahun ini.
Jokowi berkata, semua peralatan termasuk pesawat pemadam kebakaran harus sentiasa bersedia sekiranya ada kebakaran dikesan.
Beliau juga meminta gabenor di setiap wilayah tidak teragak-agak mengisytiharkan darurat di kawasan mereka sekiranya ada kebakaran dikesan.
“Petugas di lapangan sering berdepan dengan masalah prosedur tetapi apabila darurat diisytiharkan semua proses boleh dilakukan dengan cepat.
“Jangan tunggu api menjadi lebih besar kerana apabila kebakaran sudah merebak ia menjadi lebih sukar,” jelasnya.
Kebakaran hutan dan belukar berlaku hampir setiap tahun di Indonesia ketika musim kemarau yang dijangka bermula pada awal bulan depan.- Jakarta Post